Peti surat kehidupan Jai mula beroperasi hampir separuh abad lalu, di zaman ketika gambar di dalam peti televisyen hanya ada 2 warna. Setiap perutusan yang masuk ke dalam peti sejak beberapa dekad itulah yang membentuk dan mencorakkan hidup namun bukanlah niat Jai untuk bercerita secara mendalam tentang semua isinya. Hanya teringin hendak berkongsi tentang satu poskad yang masuk pada tahun 2019. Poskad perkenalan dari SC Barai dengan isi ringkas berbunyi, “Nak join main futsal?”.

Mengikut carian google, peminat bolasepak di seluruh dunia dianggarkan seramai 3.5 billion dan Jai dengan bangganya mengaku salah seorang dari mereka. Kehandalan bermain tidaklah setara mana tapi terkadang tu semasa sedang khayal mengelecek lawan berhampiran garisan tepi padang, ada jugalah terdengar suara dari luar padang “Uish, macam Beckham la”. Tidak dilayankan sangat semua suara-suara itu sebab Jai rasa lebih layak disamakan dengan Giggs. Cuma sekarang apabila sudah di peringkat usia yang akan disapa dengan panggilan pakcik lebih kerap daripada panggilan abang, kebarangkalian untuk diundang main sesi-sesi futsal dan bolasepak telah berkurang. Kadang-kadang dapatlah juga peluang tapi biasanya bila sampai di rumah selepas main pasti akan disambut dengan kata-kata semangat seperti “Dah, sakit mana pulak kali ni?”. Mana tidaknya, main persahabatan pun semuanya bermain seakan dalam final Piala Malaysia. Jenis persahabatan yang amat sukar untuk difahami. Ya, susah sungguh la Jai nak cari geng main bola. Sehinggalah sampainya poskad SC Barai.

Dan tatkala Jai mengangguk tanda setuju dengan pelawaan SC Barai maka bermulalah ikatan antara kami. Balik dari sesi futsal pertama, perasan ada satu kelainan. Atau lebih tepat, perasan ada satu kekurangan; tiada rasa sakit. Maka setibanya di rumah, dengan selamba boleh menghirup ayat-ayat perangsang yang sebelum ini terpaksa ditelan dengan senyuman di mulut dan raungan di hati. Beberapa lagi sesi futsal menyusul dan kesudahannya sama juga, tiada kesakitan. Sukar dihuraikan keseronokannya.
Kemudian SC Barai ajak main bola padang pula. Berfikir panjang juga nak join sesi bola padang sebab kalau diikutkan rekod peribadi beberapa tahun kebelakangan ini, pasti ada kecederaan. Kalau tak kecil, besar. Kalau tak besar, godang. Setelah berfikir panjang, ditabahkan hati dan setuju untuk join. Maka setelah tamat sesi bola pertama dengan SC Barai, kesudahannya sama. Tiada kecederaan.

Syarat utama bila join sesi SC Barai ialah tidak boleh main kasar. Maksudnya tak boleh sliding tackle, apatah lagi parap. Tak boleh terlalu agresif, apatah lagi buat tatu stud but di dada orang lain. Perkara mudah tapi payah hendak dipraktikkan. Mungkin ramai akan berasakan permainan bola akan bosan kalau tak boleh main ganas sikit. Hujah yang berasas. Tetapi dalam konteks permainan bolasepak sosial, dengan main tanpa kekasaran, kebaikannya jauh mengatasi kebosanan. Maka bila diberikan pilihan, bagi Jai yang pernah patah pergelangan tangan kiri dan retak tulang tangan kanan sebab main bola, ianya tak memerlukan sel-sel otak bercantum untuk memilih. Umpama sudah bulat lagi digolek.
Sesi futsal ialah sesi wajib setiap minggu manakala bola padang pula akan muncul sekali sekala. Kebiasaannya sesi akan main sesama ahli SC Barai tapi ada juga perlawanan persahabatan. Bila sesekali dapat main persahabatan, umpama disuap Haagen Dasz selepas berminggu menikmati sundae coklat Family Mart. Cuma ada beberapa kriteria penting yang akan diambilkira oleh bos-bos SC Barai sebelum memilih pasukan untuk perlawanan persahabatan. Pertama, sporting. Kedua, tiada nafsu nak main ganas. Ketiga, kurang hensem dari bos. Handal main bola tiada langsung dalam senarai.


Seperkara yang perlu dikongsi juga ialah aktiviti SC Barai tidak terhenti hanya dengan futsal dan bola padang. Ada sesi jungle trekking, sesi ke stadium beramai-ramai dan sesi jogging. Semua aktiviti sampingan itu tercangkuk juga. Jai memang sudah lama bersara daripada melakukan perbuatan berlari tanpa henti lebih dari 5 minit. Tapi sejak di’scam’ untuk sertai sesi jogging SC Barai, dah menjadi satu ketagihan pulak berlari lama-lama. Tak perlu la tanya berapa lama ataupun berapa laju pace tapi cukup la nak basahkan stokin dengan peluh.
Jenama-jenama terkenal ada slogan atau kata-kata hikmat. Nike dengan “Just Do It”, McDonald dengan “I’m lovin’ it” dan Manchester United dengan “Glory Glory Man United”. Maka selari dengan visi SC Barai untuk menjadi satu jenama hebat, tentunya mereka ada juga slogan sendiri. Dan kata-kata hikmat pilihan SC Barai ialah “100 Strong”.

“100 Strong” menjurus ke matlamat untuk mempunyai 100 orang ahli yang padu. Sasaran itu sudahpun dicapai dalam masa kurang setahun. Komposisi 100 ahli dari pelbagai latarbelakang dan masing-masing dengan kekuatan tersendiri. Ada pelajar sekolah tidak sabar nak ambil SPM, ada mahasiswa, ada ayah mahasiswa, ada MMA fighter, ada Gamer tersohor, ada pemburu kerja, ada pencinta cinta, ada usahawan burger dan ada fan Arsenal (tak ramai tapi mereka ada). Kelainan setiap ahli pun tidak terhenti disitu. Kalau disusun saiz baju semua ahli SC Barai, boleh susun dari saiz XXS hinggalah ke XXXXXXL. At SC Barai, “size does not matter”.
Cuma pada pandangan peribadi, slogan 100 Strong tu membawa maksud yang lebih besar. 100 Strong bermaksud setiap yang dibuat oleh SC Barai dan ahlinya pasti dibuat 100% sepenuh jiwa. 100% effort. 100% kudrat dicurahkan. Segala aktiviti diberikan sepenuh komitmen oleh semua ahli dari atas ke bawah ke atas kembali. Itulah erti 100 Strong.
SC Barai seperti sebuah keluarga besar yang bahagia dan ada banyak momen kekeluargaan yang Jai berpeluang saksikan dan alami. Ada momen gembira, momen sedih, momen tegas, momen disiplin. Terlalu banyak momen, tapi Jai hanya nak ceritakan satu yang terjadi selepas satu sesi futsal. Di akhir sesi itu seorang ahli Barai menghadapi situasi yang amat memberikan tekanan kepada seorang pemain futsal; kasut futsalnya jahanam. Tidak boleh dibaikpulih lagi. Agaknya kalau dihantar baikpulih pun, tukang kasut akan tolong belikan sepasang yang baru. Tapi satu aksi yang betul-betul menyentuh hati Jai berlaku di mana seorang geng Barai ajak member yang susah hati tadi ke keretanya. Dengan selamba rock kapak, dia paksa member yang susah hati ini tadi pilih kasut dari dalam bonet. Kasut masih dalam kotak. Macamana dia ada kasut banyak-banyak dalam kereta tu janganlah tanya sebab Jai pun tak tahu. Yang lebih impressive, momen itu terjadi diawal penubuhan SC Barai di mana geng-geng yang join sesi itu pun baru nak kenal sesama sendiri. Ramai yang baru pertama kali berjumpa pun. Jai terinspirasi dan dari situ Jai yakin, I’m with the right crowd.

Variasi ialah satu faktor yang konsisten dalam SC Barai. Bolehlah dikatakan variasi dan perbezaan ialah tema tidak rasmi SC Barai. Jika diibaratkan tali, setiap ahli ialah tali yang berbeza. Bermacam warna dan jenis dengan ada tali tebal, ada tali nipis, ada tali raffia malahan ada tali dah nak putus. Cuma, kebijaksanaan dan kecekapan bos-bos SC Barai berjaya menilai setiap tali dan kemudian memintal tali-tali yang berbeza ini menjadi satu tali panjang yang kuat. Satu tumbukan padu ke langit buat bos-bos SC Barai.
Sekarang, dalam menapak menelusuri kehidupan, Jai dengan rela telah sediakan ruang khas buat SC Barai sebagai peneman perjalanan. Pernah juga sekilas lalu di minda, terfikir alangkah indahnya kalau dipertemukan dengan SC Barai lebih awal dalam hidup. Tapi inilah tadir dan pasti ini perancangan terbaik. Hanya dengan izin-Nya sahaja poskad SC Barai boleh masuk ke dalam peti surat kehidupan. Jai tertunduk bersyukur.
Sememangnya takdir tidak pernah salah alamat.
Jai van der Jang
(Penulis ialah penyokong Negeri Sembilan yang menyesal kerana pernah mengeluh letih tiap-tiap tahun masuk final)
Pengisian penuh momen yang mencuit hati pembaca. Keep it up.